Sunday, 26 February 2017

Kalau Tersilap Ketuk, Terkena Pada Saraf Tunjang, Boleh Lumpuh Jadinya.. Kata Pakar Ortopedik


Kuala Lumpur: "Kalau tersilap ketuk, terkena pada saraf tunjang, boleh lumpuh jadinya," kata Pakar Ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh Pahang, Dr Mahyuddin Mohamed.

Beliau memberi peringatan kepada orang ramai mengenai rawatan alternatif masalah tergelincir tulang belakang (slipped disc) dengan cara ketukan yang kini tular di Facebook (FB).

Beliau turut membuat penafian mengenai cara rawatan itu di akaun FB-nya dan memberikan justifikasi penafiannya sehingga dikongsi lebih 6,000 kali.

"Saya faham, memang sudah menjadi lumrah manusia apabila sakit, mereka akan cuba dan ikhtiar apa saja cara untuk pastikan sakit itu sembuh.

"Bagaimanapun, mereka perlu berjaga-jaga supaya tidak ditipu wang ringgit ataupun sakit itu akan menjadi lebih teruk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi video yang dikongsi di FB berkenaan, kelihatan seorang individu membuat lakaran tulang belakang pada badan pesakit dan membuat label, sebelum mengetuk pada bahagian tulang yang kononnya bermasalah.

Dalam pada itu, Dr Mahyuddin yang juga Naib Presiden 2, Persatuan Integrasi Profesional Perubatan Malaysia (MIMPA) berkata, berdasarkan video berkenaan, lukisan yang dibuat pada badan pesakit itu tidak tepat.

"Nak merawat ‘slipped disc’ ni, bukan boleh main suka-suka ketuk. Garisan yang dilukis secara kasar sebegini adalah amat tidak tepat. Ketuk pun main intai-intai bawah kain.

"Kesan ketukan tidak akan sampai pun ke disc yang terkeluar tu. Kenapa? Kerana disc yang slipped itu di depan, bukannya dari arah belakang.

"Dari segi anatomi, cara sebegini nak betulkan slipped disc pun dah tak betul. Adalah mustahil disc yang terkeluar tu boleh kembali ke kedudukan asal dengan ketukan hikmat ini," katanya.

Justeru beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan pandangan pakar sebelum mencuba rawatan alternatif untuk mengubati penyakit.

"Nasihat saya, kalau ada sebarang masalah sakit belakang, lemah kaki, kebas kaki atau tangan, pergi klinik berhampiran dan rujuk pakar ortopedik.

"Dapatkan nasihat pakar ortopedik untuk buat pemeriksaan imbasan X atau imbasan Imej Resonan Magnetik (MRI) untuk pastikan masalah serta rujuk pada sumber yang berkelayakan," katanya.

Jelasnya lagi, menurut ilmu ortopedik, cara sebegini adalah mustahil dapat memberi apa-apa kesan kepada disc yang terkeluar itu.

Beliau berharap agar pengamal perubatan alternatif ini juga lebih bertanggungjawab dan jujur dengan apa yang mereka lakukan.

"Pesanan saya kepada mereka (pengamal perubatan alternatif) seeloknya kalau kita adakan dialog dan bersemuka untuk mencari persefahaman.

"Saya tidak nafikan perubatan alternatif, tetapi kita perlu lebih jelas apa yang logik dan tidak logik supaya masalah yang berlaku tidak menjadi lebih buruk," katanya.

Dr Mahyuddin berkata, dia ada berhubung dengan pemilik akaun FB berkenaan untuk menghubungi sendiri pesakit yang berjaya dengan rawatan itu, tetapi belum menerima maklumat berkenaan.

Sementara itu, cubaan Harian Metro untuk menemubual individu yang mempromosikan rawatan itu tidak berjaya kerana panggilan ke nombor yang diiklankan tidak dijawab.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2loG1KY
via IFTTT