Saturday, 2 December 2017

Saya Muak Dihidangkan Menu Ayam Setiap Hari Selama 4 Hari Hingga Saya Rasa Seperti 'Ayam' - Mangsa Banjir


"Saya muak dihidangkan dengan menu ayam setiap hari selama empat hari berada di sini hingga saya rasa seperti 'ayam'," demikian rungutan seorang mangsa banjir, Fatimah Mat Noh, 69, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, lapor Astro Awani. 

Menurut Fatimah, dia sudah jemu menjamah juadah yang disediakan tiga hari sekali dengan menu berasaskan ayam. 

"Saya berharap sangat dapat makan makanan lain seperti ikan kering," katanya. 


Bukan Fatimah sahaja, malah ada beberapa mangsa banjir yang turut meminta pihak pengurusan menyediakan budu bagi menggantikan ayam. 

Sementara itu, Ketua Tukang Masak PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, Jamaliah Ibrahim berkata, dia kerap menerima aduan dan rungutan daripada mangsa banjir yang jemu menjamah lauk ayam. 

"Kami memasak lebih 100 kilogram ayam setiap hari dan menyediakan 80 kilogram beras bagi makanan pagi, tengah hari dan malam dengan melibatkan 1,200 mangsa banjir," katanya. 

Bukan setakat itu saja, mangsa banjir juga meminta mereka menyediakan ikan atau ikan kering yang dilihat lebih membangkitkan selera mereka. 

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup mengakui pihaknya tidak dapat menyediakan barangan basah seperti ikan kerana ketiadaan bekalan makanan. Sejumlah 50 tan beras telah dihantar ke 216 pusat pemindahan banjir seluruh Kelantan. 

"Penggunaan harian dianggarkan 1.6 tan ayam sehari, 500 kilogram sayuran, 1,000 sarang telur dan lebih 500 kotak sardin untuk 59 buah pusat pemindahan banjir seluruh Kelantan," katanya.

Sumber: The Reporter


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2ApK2as
via IFTTT