NAMANYA pernah berada di puncak kegemilangan. Filem Ali Setan pada tahun 1986 benar-benar meletakkan namanya dalam gelanggangnya yang tersendiri.
Azmil Mustapha, bukan satu nama baharu dalam industri seni lakonan tanah air. Minat sejak kecil membuatkan figura ini menyambung pengajian dalam bidang perfileman di Amerika Syarikat.
Dalam pada namanya masih dikenali, dia menghilang dalam radar hiburan tempatan.
Rupa-rupanya Azmil meneruskan perjuangan dalam dakwahnya. Berhijrah kepada fasa lebih baik, Azmil menuntut ilmu di Syiria dan mendalami ilmu al-Quran.
Dalam usianya 64 tahun, Azmil sebenarnya masih dirindui dalam bidang lakonan.
“Dalam industri tak ada masalah, lagi-lagi sekarang ada saluran khusus yang berbentuk Islamik dan saluran lain juga ada slot berkaitan Islam ditayangkan.
“Saya belum terfikir untuk kembali, tetapi perkara itu pernah ditanyakan kepada saya tahun lalu, apabila ada produksi yang sanggup membayar kepada saya RM10,000 sehari.
“Banyak,kan. RM100,000 untuk sebuah telemovie. Ibarat kata, sebulan tak perlu kerja. Tapi, saya tolak...,” katanya semasa menjadi tetamu dalam sesi temubual secara langsung di Facebook Sinar Harian, hari ini.
Azmil berkata, biarpun cerita itu berbentuk Islamik tetapi dia kuathirkan kisah di sebalik tabir.
“Di depan kamera ini cantik, tetapi saya risau kehidupan di belakang tabirnya. Seperti yang berlaku pada saya hari ini, ramai nak bergambar... jadi timbul kerisauan pada saya.
“Jadi, eloklah saya menolak dengan baik,” katanya.
Sementara itu, dalam sesi ituu juga, ada pelayar Facebook yang mengajukan soalan mengenai filem Ali Setan yang dibuat dalam versi Islamik.
"Saya suka apabila filem itu mahu dibuat semula. Tetapi untuk saya melakonkannya semula, saya tidak tahu... tidak terfikir lagi ke arah itu.
“Tetapi kalau ada yang nak buat, Alhamdulillah,” katanya yang juga merupakan lakon layar untuk filem Ali Setan.
Filem yang memberi impak kepada ramai orang itu turut mempopularkan namanya bersama heroinnya ketika itu Fauziah Ahmad Daud.
“Bila ingat balik, masa berlakon filem tu, saya dah kahwin dan mempunyai anak. Melakonkan watak sebagai pelajar nakal, rasanya lain juga,” ujarnya.
Dalam meniti kehidupannya kini, Azmil sebenarnya seorang ustaz dan sering mengadakan ceramah.
“Buat masa ini, saya memang sepenuh masa mengajar, cuma dua bulan ini saya berehat. Ini kerana, keadaan saya tidak mengizinkan sebelum ini untuk meneruskan ceramah, jadi slot saya dingantikan orang lain.
“InsyaALLAH, awal Januari nanti saya akan mulakan kembali ceramah saya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2BguJkN
via IFTTT