Tahun 2016, Ameng Spring dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman 5 tahun. Baru-baru ni dia bagitau wartawan ketika di penjara dia sangat beramal dengan Quran. Ketika di penjara itu lah “sesuatu” yang amat mengejutkan terjadi. Subhanallah.
TAHUN PERTAMA DALAM PENJARA
“Tahun pertama dalam penjara, saya alami tekanan jiwa yang sangat teruk. Fikiran jadi tak menentu terkenangkan bebanan yang isteri terpaksa tanggung untuk menampung keluarga,” kata Ameng, bekas bintang rock selepas dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah.
Ameng, atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, adalah bekas vokalis kumpulan Spring, yang popular sekitar tahun 1990an. Pada 2011, beliau dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dengan 10 sebatan setelah didapati bersalah kerana penyalahgunaan dadah.
Setelah mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik, Ameng dibebaskan pada 14 Jun 2016, kira-kira tiga tahun lebih awal daripada tempoh penuh hukuman.
Lima tahun dalam penjara memberikan banyak pengajaran tidak ternilai bagi Ameng dan membantunya untuk bangkit semula dengan ketakwaan yang mendalam kepada Maha Pencipta.
Transformasi bekas idola budaya pop itu kini menjadi inspirasi kepada ribuan bekas penagih dadah dan orang ramai yang berazam mengubah haluan hidup mereka menuju jalan kebenaran.
Pada program ‘Gema Wahyu’ di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur (MJSASKL) 31 Ogos lalu, ratusan peserta terdiri daripada golongan ibu bapa, remaja dan kanak-kanak termasuk penulis sendiri hadir untuk mendengar Ameng berkongsi perjalanan hijrahnya dengan penonton.
NASIHAT WARDEN
Sukar untuk mempercayai bahawa Ameng yang dahulunya pernah membuat persembahan untuk menghiburkan banduan di penjara-penjara di negara ini, akhirnya sendiri merengkok di penjara.
Namun, apabila masuk ke penjara sebagai banduan dan bukan sebagai penghibur, Ameng sudah kenal dengan beberapa pegawai dan warden penjara.
Ameng mengakui pada mulanya tidak mudah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam penjara.
“Pada ketika itu apa yang paling saya risau adalah nasib isteri dan anak-anak. Bagaimanakah mereka akan teruskan hidup tanpa ketua keluarga?
Mereka tak ada duit, dan saya tidak pasti di mana mereka akan tinggal. Dalam kekusutan itu, seorang pegawai penjara yang bersimpati tolong menenangkan saya. Pesan beliau ringkas sahaja tetapi memberi kesan mendalam sehingga saya berubah,” katanya.
“Masalah keluarga kamu tidak seburuk yang disangkakan, tidak guna kamu risaukan mereka sedangkan kini kamu tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan di luar sana.
Pilihan ada di tangan kamu sama ada mahu terus melayan kekusutan fikiran atau fokus mengubah diri menjadi lebih baik,” tambah Ameng memetik kata-kata warden penjara itu.
Oleh itu, satu-satunya cara untuk meneruskan hidup adalah dengan muhasabah diri dan menyedari kekurangan sendiri. Menginsafi keadaan itu, beliau sedar yang dirinya sebagai seorang Islam telah lalai menunaikan tanggungjawab terhadap agama terutamanya berkenaan fardhu ain dan membaca Al-Quran.
KAWAN SEL YANG ALIM
Walaupun kehidupan di penjara bukanlah sesuatu yang indah, Ameng mendapati sistem pengajian ilmu agama di dalam penjara disusun dengan amat baik dengan kehadiran ramai ustaz yang mengajar berdasarkan pengkhususuan ilmu masing-masing.
Selepas belajar membaca Al-Quran, Ameng belajar dengan lebih mendalam, mengkaji dan memahami ayat-ayat dalam kitab suci itu.
Beliau merancangkan pengajian Al-Quran dengan membahagikan masa menghafal ayat-ayat baru sebelum subuh dan mengulang kaji ayat-ayat yang dihafaz sewaktu mengerjakan solat-solat tahajjud, taubat dan sunat ketika bangun qiamullail (bangun di tengah malam untuk beribadat).
“Jika saya lemah semangat, saya akan membaca surah An-Naba kerana mendapati makna ayat-ayat dalam surah itu dapat menyuntik kembali semangat saya.
Saya sentiasa bersemangat untuk membaca Quran. Sejak kecil saya tak pernah pandai membaca Al-Quran. Saya menggunakan setiap peluang yang ada untuk memperbaiki bacaan Al-Quran saya,” katanya.
Ameng juga bernasib baik kerana rakan selnya mahir membaca Al-Quran.
“Apabila saya terjumpa sesuatu yang baru dan tak tahu, saya akan tanya dia. Walaupun ketika dia tidur, saya akan bangunkan dan dia begitu baik hati menjawab soalan saya,” jelas Ameng sambil mengenang perjalanan hijrahnya.
MUKJIZAT AL QURAN
Amalan membaca al-Quran dan merenungkan masa lalu banyak membantu Ameng untuk bertaubat dan memulakan lembaran hidup baru.
Selain hukuman penjara yang dikurangkan, beliau mendapati rezekinya semakin murah. Tanpa disangka ketika menjalani hukuman, beliau diberi peluang merekodkan album ketika masih dalam penjara.
Setelah dibebaskan, satu demi satu perkara yang pernah hilang ibarat ‘dikembalikan semula’ kepadanya. Rumah yang diidamkan, kereta yang diingini dan sumber pendapatan, semuanya datang kembali.
Bagi Ameng, tempoh dalam penjara mempunyai hikmah yang tersembunyi dan sepanjang tempoh berada di balik jeriji besi penjara, beliau banyak bermuhasabah, merenung kembali perjalanan hidupnya sebelum ini serta bertaubat.
“Saya baru belajar mengaji Al-Quran pada umur 45 tahun. Belum pun sampai lima tahun, saya sudah mahir membaca dan menghafaz Al-Quran. Kalau nak dekat dengan Al-Quran, ada jalan dekat dan ada jalan jauh. Mungkin saya ikut jalan jauh,” katanya mengakhiri cerita.
Sumber : Malaysiakini via http://ift.tt/2tdt9ix
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2A8DnQo
via IFTTT