Saturday, 4 March 2017

Lima Tahun Tinggal Di Rumah Berhantu, Bertahan Kerana Sewa Murah


Kami pernah tinggal di rumah yang berhantu selama lima tahun. Ketika saya Darjah Dua, ayah saya dipindahkan ke Selangor, jadi kami sekeluarga pun berpindah sekali.

Ayah saya berjaya mencari sebuah rumah teres dua tingkat yang disewakan murah.

Malam pertama kami di rumah baru, mak saya bermimpi ada seorang perempuan cina sedang menangis di tepi keranda sambil membakar kertas sembahyang.
Keesokan harinya, tuan rumah datang melawat kami. Mak saya terkejut sebab dia lah perempuan yang mak saya mimpikan semalam.

Rupa-rupanya suaminya telah meninggal di rumah itu, dan menurut kepercayaan orang cina, rumah itu tidak bertuah setelah ada kematian.

Suaminya pula mewariskan rumah itu kepada dua orang anaknya yang masih kecil, jadi dia tidak boleh menjual rumah itu. Jadi disewakan kepada orang lain dan hasil sewa dia membayar rumah sewa yang dia duduki selepas berpindah.

Tetapi penyewanya sering berpindah atau lari, tiada penyewa yang mahu tinggal selepas tiga bulan. Kata jiran sebelah, ada benda yang menganggu mereka.

Sejak berpindah ke rumah itu, adik saya sering mengigau seperti menjerit, bercakap, berjalan dlm tidur, berpusing atas katil 360 darjah seperti kayuh basikal.

Pernah sekali, dia sedang tidur di bilik dan tiba-tiba bangun dan mula naik tangga. Kemudian cuba memanjat balkoni tangga untuk terjun dari tingkat atas. Nasib baik abang saya perasan dan menarik dia sebelum dia sempat terjun. Kejadian ini berlaku banyak kali.

Rumah ini ada empat bilik, satu bilik kecil di tingkat bawah, tiga bilik tidur di tingkat atas. Bilik bawah ini dijadikan bilik baju dan bilik solat.

Ada tandas di antara bilik ni dan dapur, kami selalu ambil wuduk di situ. Suatu hari, saya ambil wuduk di situ dan ternampak kelibat budak lalu di depan tandas dan masuk ke dalam bilik bawah. Mula-mula saya ingatkan adik-adik, tetapi selepas selesai mandi, adik-adik saya lihat semuanya di ruang tamu. Tiada siapa dalam bilik bawah.

Ruang tamu kami pula mengadap dapur. Pernah sekali, saya sedang menonton televisyen dan terpandang dapur. Ada tangan berwarna hitam sedang melambai saya dari dapur.

Masalahnya, tangan itu melambai dari atas peti ais yang terletak betul-betul sebelah pintu dapur. Seperti biasa, saya buat tidak tahu saja.

Malam seterusnya saya masuk ke dapur untuk minum air. Usai minum, saya berpaling ke arah pintu dapur dan ternampak lembaga budak kecil berwarna hitam sedang bertenggek atas peti ais. Cepat-cepat saya keluar dan sambung menonton televisyen.

Sebenarnya kami dah biasa nampak kelibat budak kecil berwarna hitam naik turun tangga, masuk bilik, lari depan pintu, menjenguk kami dari balkoni tangga dan sebagainya. Setakat bunyi guli, perabut bergerak dan bende berlari atas bumbung itu adalah perkara yang sangat biasa.

Di ruang tamu ada sebuah lukisan minyak yang sangat besar, bertemakan hutan, air terjun dan dua ekor rusa. Kami tak dapat tanggalkan sebab telah dilekat kuat pada dinding.

Abang saya pernah beritahu yang pada waktu malam, lukisan itu akan hidup. Air terjun dalam lukisan itu akan mengalir dan pokok-pokok bergoyang ditiup angin.

Kadang-kadang, dia nampak mata rusa itu bergerak mengekori orang.

Di rumah ini lah saya pernah bermimpi seram sehingga trauma.

Ayah saya menghadiahkan anak patung berbaju gaun pada saya. Mula-mula suka lah, tapi malam tu saya mimpi anak patung itu hidup mengejar saya. Dia nak ambil badan saya sebab dia pun nak hidup. Puas saya lari dalam mimpi tu.

Pada satu tahap, dia ambil pisau dari dapur dan nak tikam saya. Ya, dalam mimpi tu anak patung itu kejar saya dlm rumah, dari tingkat bawah dia kejar ke atas dan ikut masuk bilik tidur.

Esoknya saya buang patung itu dalam stor. Lepas itu saya langsung tak suka semua anak patung berbentuk manusia, termasuk barbie.

Tandas di bilik tidur utama adalah tempat yang paling seram dalam rumah itu. Cuma ayah saja yang berani menggunakan tandas itu.

Ini pelik kerana walaupun tandas itu besar dan cerah dengan cahaya matahari, kami selalu rasa ada seseorang memerhati kami dalam tandas itu. Kami semua berpendapat yang suami tuan rumah meninggal di situ.

Kami bertahan selama lima tahun di rumah itu. Mak selalu minta berpindah tetapi ayah suruh bersabar kerana rumah lain mahal sangat sewanya.

Tuan rumah tak pernah naik kan sewa kerana kami sahaja yang mahu tinggal di rumah itu walaupon diganggu. Ayah ikhtiar baca yassin setiap minggu, tapi kami masih nampak bayang-bayang budak hitam.

Setelah lima tahun ayah dipindahkan ke Kedah. Kami semua rasa lega kerana dapat meninggalkan rumah itu.

Sumber: fiksyenshasha


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2mFKtco
via IFTTT