Monday, 8 February 2021

"Sampai Hati KWSP Buat Macam Ni.." – Ramai Kecewa Status i-Sinar Lulus Bertukar Dalam Proses

SEMALAM kecoh di laman sosial berkenaan status permohonan pengeluaran i-Sinar Kategori 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tinjauan di media sosial memaparkan rata-rata pencarum yang memohon pengeluaran mendapat keputusan ‘lulus’ apabila membuat semakan bermula awal pagi semalam.

Malahan, mereka juga mendakwa semakan status permohonan i-Sinar kategori dua yang sebelum ini telah diluluskan oleh KWSP, tetapi sebaik sahaja melakukan semakan semula pada Isnin lalu, mendapati permohonan mereka masih dalam status proses.

Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Ahad membuat pengumuman pihaknya berdepan masalah teknikal berhubung paparan status permohonan kemudahan i-Sinar. Kenyataan tersebut di laman sosial Twitter, Instagram dan Facebook KWSP selepas beberapa jam kebanyakkan permohonan i-Sinar kategori dua dilaporkan telah lulus setelah pemohon membuat semakan pada Ahad.

KWSP ingin memohon maaf atas kesulitan kerana terdapat masalah teknikal pada paparan status i-Sinar online. Anda disarankan untuk menyemak semula status anda bermula pada 8 pagi pada 8 Februari 2021

Warga maya dikenali Qistina Shahrim meluahkan kekecewaanya di ruang komen Twitter KWSP.

"Sampai hati KWSP buat macam ini, sudahlah tunggu keputusan hampir sebulan campur cuti umum, cuti hujung minggu lagi, lepas itu status hijau tukar balik pada biru. Kami satu keluarga sudah gembira sangat semalam, tapi pagi ini, hanya ALLAH sahaja tahu perasaan kami," ciapnya yang menarik perhatian orang ramai.

Muhammad Hafiz Hashim pula memuat naik paparan i-Sinar kategori dua yang menunjukkan sistem itu kini mengalami masalah teknikal walaupun KWSP telah memaklumkan Isnin pagi orang ramai boleh mengakses sistem tersebut.

Kemudian wanita dikenali Maksu memberitahu, sebelum ini dia telah lulus permohonan status i-Sinar kategori dua tetapi pagi ini semakan dilakukan sekali lagi dan menunjukkan pemohonan masih dalam proses.

"Harap-harap janganlah bagi saya harapan palsu. Sudah gembira malam tadi, tiba-tiba sekarang 'check' masih diproses lagi," ciapnya.

Kenyataan itu juga disokong oleh Syamimie dengan berkata, "Saya gembira semalam status lulus...pagi ini kecewa dan sedih status dalam proses...sedih".

Terdahulu, KWSP memaklumkan bagi pemohonan kategori dua adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Sumber: Sinar Harian



from Sehinggit Media https://ift.tt/39X8dA5
via Merah Hati Cintaku