Monday, 8 February 2021

Kilang Bebola Ikan, Babi Menjijikkan Diserbu Di Pulau Pinang

Kepala Batas: Berulang-kali memberitahu kilang mahu ditutup kerana sudah bankrap bagi mengelakkan dikenakan tindakan berikutan keadaan premis menjijikkan.

Begitu alasan diberikan pemilik kilang memproses makanan sejuk beku bukan Islam di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, apabila diserbu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), hari ini.

Dalam serbuan 10 pagi itu, pemeriksaan mendapati tahap kebersihan kilang berkenaan begitu menjijikkan apabila memproses makanan dengan meletakkannya di atas lantai hingga menyebabkan ia dihurung lalat dan lipas selain terdapat tahi tikus yang dijumpai di celah-celah peralatan yang digunakan.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, walaupun produk berkenaan dipasarkan kepada bukan Islam, namun pihaknya mengutamakan aspek kebersihan supaya tidak berlaku keracunan makanan.

"Tahun lalu, kita sudah memberi amaran dan nasihat kepada pemilik kilang ini, tetapi tidak diendahkan selain tiada sebarang penambahbaikan dilakukan, bahkan pekerja juga tidak mengambil suntikan tifoid.

"Dalam soal siasat, pemiliknya tidak habis-habis beri alasan kilang dah nak tutup sebab bankrap tapi dalam rekod sudah 50 tahun beroperasi dan berulang-ulang melakukan kesalahan sama," katanya selepas mengadakan operasi di kilang itu, di sini.

Mohd Wazir berkata, pihaknya juga bimbang berikutan terdapat sesetengah produk bebola yang dikeluarkan tidak mempunyai label sekali gus akan menimbulkan kekeliruan terutama kepada pengguna muslim.

"Kita dapati terdapat percampuran pada bahan ikan dan daging babi dalam proses menghasilkan bebola, dan apa yang menjadi kekeliruan terdapat bungkusan yang tidak mempunyai label.

"Bagi produk yang mempunyai label (jenama) pula ditulis dalam tulisan Cina yang menyalahi undang-undang kerana setiap produk dikeluarkan wajib mempunyai tulisan bahasa Melayu kerana produk-produk makanan seperti ini kebiasaannya dijual di pasar basah," katanya.

Katanya, berikutan kesalahan itu, pihaknya bertindak menutup kilang terbabit selama dua minggu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain mengeluarkan tiga notis di bawah Peraturan 32 akta sama atas kesalahan pengabaian kebersihan diri ketika mengendalikan makanan.

"Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri juga mengambil tindakan ke atas pemilik berikutan kesalahan sukat timbang dan menyimpan minyak masak tanpa kebenaran.

"Selain itu, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP) pula mengambil tindakan berikutan pejabat kilang itu beroperasi tanpa lesen," katanya.

Seramai 43 anggota penguat kuasa dari JKNPP, KPDNHEP dan MBSP terbabit dalam Op Tegar itu.

Sumber: Harian Metro



from Sehinggit Media https://ift.tt/3rukNNp
via Merah Hati Cintaku