Tuesday 9 February 2021

Ibu Kandung Dan Bapa Tiri Adik Amir Berdepan Hukuman Gantung


Sebelum ini, Malaysia digemparkan mengenai berita kematian seorang kanak-kanak lelaki Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek yang dipercayai didera oleh ibu bapanya sehingga meninggal dunia bulan lalu.

Hari ini, pasangan suami isteri tersebut didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membunuh kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sehingga menyebabkan kematian.

Menerusi laporan BH Online, tertuduh Mohd Fadzli Abdull Razak dan isterinya Zuraida Atan didakwa di dua mahkamah berasingan atas dua pertuduhan iaitu membunuh dan mendera.

Pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Sabit kesalahan, tertuduh yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri kepada mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun boleh dihukum mati.

Pasangan berkenaan turut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu ketika dibaca di hadapan Hakim Nariman selain tidak membenarkan sebarang jaminan.

Tertuduh lelaki diwakili peguam, Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak manakala tertuduh wanita pula dibarisi peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman.

Bagaimanapun, kedua-kedua kes tersebut akan disebut semula pada 29 Mac depan sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sumber: BH Online via https://ohmymedia.cc




from Sehinggit Media https://ift.tt/36YSyOR
via Merah Hati Cintaku