KUALA LUMPUR: Penyanyi Menahan Rindu, Wany Hasrita menerima dengan terbuka jika ibu tercinta, Norita Jaafar bertemu jodoh selepas 14 tahun bergelar ibu tunggal.
Tidak kisah jika ibu berkahwin dulu, Wany memberitahu, pengorbanan ibunya tidak ternilai malah sentiasa mengutamakan anak dalam serba serbi.
"Saya terima jika jodoh ibu sampai dulu. Ini kerana saya tidak mahu ibu tinggal sendirian. Selama ini, ibu berpegang prinsip tidak mahu duduk bersama anak dan menantu," katanya kepada BH Online.
Wany atau nama penuhnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, berkata, ibu bapanya berpisah ketika dia berusia 12 tahun.
"Sejak itu, ibu mengutamakan keperluan dan kehendak saya. Ibu bekerja sebagai kerani dan menggunakan segala kudrat bagi memastikan saya menjejakkan kaki ke universiti.
"Namun, kami diuji sekali lagi apabila ibu dibuang kerja lalu kami sekeluarga hilang sumber pendapatan," katanya mengimbau kepayahan hidup suatu ketika dulu.
Mencuba sedaya mungkin membalas jasa ibu, Wany mengakui kekangan masa berikutan komitmen kerja kadang kala membuatkan ratu hidupnya itu terasa hati.
"Sebenarnya, ibu bukan saja harus diraikan setahun sekali. Sebaliknya, setiap hari kerana pengorbanan mereka yang tidak ternilai. Bukan daripada segi wang ringgit, malah tingkah laku dan percakapan dengan ibu juga harus dijaga," katanya.
Berkongsi perasaan sempena Hari Ibu yang disambut Ahad lalu, Wany berkata, dua tahun lalu, dia membuat kejutan dengan meletakkan kek, kad dan hadiah dalam peti sejuk di rumah.
"Kali ini, Hari Ibu diraikan sederhana melalui ucapan melalui telefon. Ini kerana saya ada komitmen kerja sepanjang hari.
"Saya berjanji, apabila tiba masa terluang, saya akan habiskan bersama ibu. Ini kerana saya tidak mahu ibu terasa hati kerana mengabaikan perasaannya," katanya. - BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2ImCTe2
via Merah Hati Cintaku