Tuesday, 15 May 2018

Hasrat Ziana Bercerai Gagal, Armin Bangkitkan Isu Anak-anak


HASRAT penyanyi, Ziana Zain untuk menoktahkan rumahtangganya dengan Armin Zaharin hari ini tidak berkesampaian apabila suaminya membangkitkan isu jagaan anak mereka.

Armin, memberitahu Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Mohd Nizar Mohtar, dia bersetuju untuk menceraikan pelantun Madah Berhelah itu dengan syarat ingin berjumpa dengan anak- anak.

Bagaimana pun, Ziana, 50, memaklumkan, anak- anak tidak dibenarkan berjumpa dengan Armin kerana dikhuatiri mengganggu kes jenayah yang dihadapi Armin.

"Saya diberitahu polis bahawa anak-anak akan menjadi saksi pendakwaan terhadap Armin yang mendera anak," katanya.


Mohd Nizar kemudiannya merekodkan Armin tidak bersetuju dengan penceraian dan memerintahkan Ziana dan Armin untuk proses Jawatan Kuasa Pendamai.

"Mahkamah ini tiada bidang kuasa terhadap isu jagaan anak. Sebarang tuntutan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah," katanya.

Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Ij72Lm
via Merah Hati Cintaku