Sunday, 23 April 2017

Kisah Seorang Pemuda Islam Yang Membela 2 Ekor Babi Dalam Rumahnya


Mungkin ramai yang pernah mendengar kisah mengenai kisah tauladan ini. Namun, kami masih ingin berkongsi kepada pembaca. Semoga ia bermanfaat kepada kita semua.

Nabi Musa A.S. merupakan satu-satunya Nabi yang dikurniakan kelebihan boleh berkomunikasi terus dengan Allah S.W. T.. Setiap kali beliau ingin bermunajat (berdoa atau berzikir) kepada Allah, Nabi Musa akan pergi ke Bukit Tursina dan bermunajat di atas bukit ini. Di atas bukit inilah beliau bercakap dengan Allah S.W.T.

Nabi Musa sering bertanya kepada Allah dan persoalannya akan terus dijawab ketika itu juga. Inilah suatu kelebihan pada Nabi Musa yang tiada pada nabi-nabi lain.

Pada suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t. . "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah S.W.T pun menjawab dengan memberitahu nama orang itu dan di mana tempat tinggalnya. Setelah mendengar jawapan tersebut, Nabi Musa lalu turun dari Bukit Tursina dan sekaligus berjalan menuju ke tempat yang diberitahu.

Perjalanan tersebut mengambil beberapa hari, dan akhirnya Nabi Musa A.S sampai di destinasinya tersebut.

Dengan bantuan penduduk-penduduk di kampung itu, Nabi Musa A.S berjaya menemui tempat tinggal orang yang dimaksudkan. Nabi Musa lalu memberi salam lantas dijawab oleh pemuda itu dan dijemput masuk ke dalam rumahnya. Namun, pemuda itu tidak terus melayani Nabi Musa A.S, tetapi terus masuk ke dalam biliknya. Selepas beberapa ketika, pemuda itu keluar dari bilik tersebut sambil mendukung seekor khinzir betina yang sangat besar. Khinzir itu didukungnya dengan penuh cermat. Melihat kejadian itu, Nabi Musa A.S amat terkejut dan berkata di dalam hatinya dengan penuh kehairanan, "Apakah ini?".

Khinzir itu lalu dimandikan dan dibersihkan dengan baik sekali. Setelah siap dimandikan, pemuda itu mengelap hingga kering khinzir tersebut dan dipeluk cium olehnya lalu dibawa masuk kembali ke dalam bilik. Selang beberapa ketika, pemuda itu sekali lagi keluar, kali ini pula dia membawa keluar seekor khinzir jantan yang lebih besar. Beliau melakukan perkara yang sama, memandikan khinzir tersebut dan dilap sehingga kering, dan dipeluk sertia dicium dengan penuh kasih sayang. Lalu dibawanya khinzir itu kembali ke dalam bilik tadi

Setelah selesai urusannya, barulah dia datang kepada Nabi Musa A.S. seraya bertanya, "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. Hairan dengan jawapannya, Nabi Musa A.S pun bertanya, "Kalau agama mu Tauhid, mengapa kamu membela khinzir? Kita tidak dibenarkan berbuat begitu," kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba," kata pemuda itu dengan tenang. "Sebenarnya, kedua-dua ekor khinzir tadi adalah ibu dan bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah S.W.T telah menukarkan rupa bentuk mereka kepada khinzir yang buruk rupanya. Namun, soal dosa mereka dengan Allah S.W.T itu adalah soal lain, itu urusan mereka dengan Allah S.W.T.. Aku sebagai anak mereka tetap wajib melaksanakan tanggungjawab dan kewajipanku. Hari-hari aku berbakti kepada kedua orang tuaku seperti mana tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka tidak lagi seperti manusia, malah seperti khinzir, mereka tetap ibu bapaku yang telah membesarkan aku, jadi aku tetap wajib melaksanakan tugasku," terang pemuda itu.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah S.W.T agar mereka dosa mereka diampunkan dan aku memohon supaya Allah S.W.T menukarkan kembali wajah mereka menjadi manusia yang sebenar seperti sediakala, namun Allah S.W.T masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Lalu ketika itu juga Allah S.W.T menurunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S  "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil usaha baktinya yang sangat tinggi dan mulia kepada kedua ibubapanya. Walaupun ibu bapanya kini sudah buruk dengan rupa khinzir namun dia tetap berbakti kepada mereka. Oleh itu Kami angkatkan maqamnya sebagai anak yang soleh disisi Kami."

Allah S.W.T juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkatkan doanya. Tempat kedua-dua ibu dan bapanya yang Kami telah sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Jadi, itulah berkat dan hasil anak yang soleh. Bagaimana doa seorang anak yang taat dan soleh dapat menebus dosa kedua ibu bapanya, sehingga dapat membawa mereka daripada neraka masuk ke syurga. dengan syarat dia berbakti kepada mereka. Walaupun hingga ke peringkat rupa bentuk mereka diubah menjadi khinzir. 

Ibu bapa kita adalah tanggungjawab kita apabila kita sudah menjadi dewasa. Jangan kita sesekali mengabaikan mereka, walau seburuk dan sejahat mana perlakuan dan perangai mereka, itu bukan urusan kita. Urusan kita adalah menjaga kebajikan mereka dengan penuh kasih sayang, sebagaimana mereka menjaga kita sejak dari hari pertama kita melihat dunia sehinggalah kita dewasa. Dan walau dosa mereka sebesar gunung sekalipun, itu juga bukan urusan kita. Kita sebagai anak yang solah haruslah berdoa meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya mereka diampuni dan diletakkan bersama-sama orang yang soleh.

Harus diingat, setiap yang dikurniakan kepada kita, sama ada ibu bapa, seorang isteri, mahupun anak-anak, semua itu adalah tanggungjawab dan amanah. Lakukanlah segala tanggungjawab dan amanah dengan penuh rasa kasih dan sayang, agar kita tergolong daripada orang-orang yang bersyukur. Jika kita ada berbuat kesalahan, maka segeralah bertaubat. Kerana Allah itu Maha Pengampun, dan sebesar-besar pintu adalah pintu taubat.

Ingatlah, Allah akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan, walaupun ia hanya sebesar zarah.

Mudah-mudahan ibubapa, suami isteri dan anak-anak kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Sumber: Iluminasi


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2ohoB8A
via IFTTT