Friday, 28 April 2017

Thaqif Dipilih Untuk Beri Iktibar Pada Semua - IBU


KOTA TINGGI: "Mungkin Thaqif Allah pilih untuk mewakili rakan-rakan... kita tidak tahu ini perancangan Allah," luah ibu kepada pelajar madrasah tahfiz yang meninggal dunia, kelmarin. Felda Wani Ahmad, 40, berkata keluarganya reda dengan pemergian Mohamad Thaqif Amin dan tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. 

"Kita bukan mahu tuding jari pada sesiapa, tetapi kita cari jalan terbaik. Anak saya pun dah tiada, bukan saya dapat hidupkannya kembali. "Saya cuba mencari kekuatan diri, bukan tidak mahu jawab (soalan media) dan salahkan madrasah, cuma biarlah siasatan dijalankan pihak polis," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi pusara Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping Timur di sini, hari ini. Raja Zarith Sofiah yang tiba di tanah perkuburan pada jam 3.30 petang disambut Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr Badrul Hisham Kassim dan keluarga Allahyarham Mohamad Thaqif. 

Sementara itu, bapa Allahyarham, Mohd Gaddafi Mat Karim, berkata beliau dan pihak keluarga tidak menyangka Permaisuri Johor berkenan meluangkan masa menziarahi pusara anaknya. "Saya dan keluarga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Istana Johor dan Permaisuri Johor yang berkenan hadir hari ini," katanya. Mohamad Thaqif meninggal pada jam 2.05 petang kelmarin, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas dua minggu menderita jangkitan kuman di kaki. Jumaat lalu, kedua-dua kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke HSI berikutan didakwa disebat oleh seorang pembantu warden madrasah tahfiz di sini. 

Jenazah Mohamad Thaqif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping Timur di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam. - Berita Harian


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2oSEVJ0
via IFTTT