Sunday, 6 December 2020

Akak Polis Buat Tiktok Pakai Uniform, Berdepan Tindakan Tatatertib

TIKTOK dilihat telah berjaya menarik perhatian ramai dengan penghasilan video pendek dengan fungsi penyuntingan yang mudah.

Apatah lagi apabila ada trend ‘cabaran’ atau ‘Challenges’ yang mendorong ramai pengguna untuk menyertai sambil membandingkan kreativiti masing-masing.

Maka tidak hairanlah jika hari ini pengguna TikTok berlumba-lumba untuk menghasilkan video kreatif melalui cabaran-cabaran yang diwujudkan.

Antara cabaran yang semakin trending di TikTok hari ini adalah cabaran lagu ‘Pump It’ yang popular sekitar tahun 2006 nyanyian kumpulan Black Eyed Peas.

Untuk menyertai cabaran lagu tersebut, pengguna hanya perlu menari mengikut rentak muzik dan beats-beats lagu.

Ada yang menggunakan trend cabaran tersebut untuk kegunaan perniagaan, suka-suka dan tak kurang juga yang membuat untuk mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga melalui pelbagai versi.

Tidak terkecuali dengan seorang anggota badan beruniform ini yang tidak ketinggalan menghasilkan video trend berkenaan tetapi akhirnya membawa padah.

Seorang anggota polis wanita dari Kontinjen Kelantan baru-baru ini terpaksa berdepan tindakan tatatertib selepas dia memuat naik video aksi tarian ‘pump it challenges’ menerusi aplikasi Tik Tok sewaktu memakai uniform operasi polis.

Ternyata perbuatan wanita tersebut mengundang rasa kurang selesa warganet dan turut mendapat kecaman hebat sekali gus dilihat mencemarkan imej polis.

Memetik laporan portal media tempatan, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, perbuatan yang kini tular di media sosial itu menjejaskan imej jabatan dan kod etika Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kelantan bagi membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Saya memandang serius perlakuan seorang anggota polis yang membuat video yang mempamerkan aksi seperti tarian menerusi aplikasi Tik Tok sewaktu memakai uniform polis.

“Arahan Ketua Polis Negara sangat jelas bahawa terdapat larangan pegawai kanan dan pegawai rendah polis memuat naik serta perkongsian peribadi semasa memakai uniform di platform media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shafien, pihak jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik PDRM.

Awas! Jadikan kejadian ini satu pengajaran buat semua terutama kaki tangan awam. Tak salah untuk menyahut mana-mana cabaran di aplikasi TikTok, tapi perlu menjaga sensitiviti terutama bagi mereka yang terikat dengan kod dan etika sewaktu bertugas.

Jadilah pengguna yang bijak dan jangan dek kerana terlalu ikut tred semua nak langgar!

Sumber: Sinar Plus Sinar Harian



from Sehinggit Media News https://ift.tt/37E5xVT
via IFTTT