“SAYA sendiri tidak tahu anak sedang hamil,” kata Jaafar Ibrahim, 63, bapa kepada Nur Syafiqah Jaafar, 22, yang maut bersama suaminya di Lebuhraya Rantau Panjang- Pasir Mas dekat Lubok Jong di Pasir Mas, pagi hari ini.
Dalam kejadian 6 pagi itu, Nur Syafiqah dan suaminya, Mohd Ikraam Ab Azit, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
Nur Syafiqah yang mengandung lima bulan pecah perut akibat pertembungan itu menyebabkan janin yang dikandungnya terkeluar.
Kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha LC yang dinaiki dilanggar Perodua Myvi dari arah bertentangan.
Jaafar berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Rahmat, Jeli sebelum didatangi polis 8 pagi.
Katanya, sebaik dimaklumkan anak terbabit dalam kemalangan, dia terus bergegas ke Hospital Pasir Mas.
“Sebaik tiba di hospital saya dimaklumkan anak dan suaminya sudah meninggal dunia.
“Di hospital baru saya tahu arwah sedang hamil lima bulan. Saya terkejut kerana tidak dimaklumkan arwah mengandung sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas, hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anak ketujuh dari sembilan beradik itu pada Ahad lalu selepas menghantarnya pulang ke Politeknik Kok Lanas.
“Sebelum itu, arwah balik ke rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan abangnya Jumaat lalu.
“Arwah seorang yang ceria dan rapat dengan keluarga. Sebelum kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Mohd Ikraam, Abdul Aziz Mohd Zain, 60, berkata anaknya yang bekerja sebagai anggota bomba bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat keluar dari rumah 12 tengah malam tadi.
“Dia maklumkan mahu menghantar rakannya ke Kuala Lumpur sebelum dikejutkan dengan kejadian kemalangan itu.
“Kami reda dengan kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik secara mengejut,” katanya.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media https://ift.tt/2S7F7Us
via Merah Hati Cintaku