KUALA LUMPUR – MalaysiaGazette menerima email berupa surat terbuka dari seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai A. Kulal. Beliau mempunyai seorang anak yang masih menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Fikirannya amat terganggu rentetan tragedi yang mengorbankan nyawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain. Tragedi tersebut ternyata menimbulkan kesan yang bukan sedikit khususnya kepada ibu bapa yang menyaksikan sendiri bagaimana anak mereka diserahkan kepada pentadbir UPNM untuk dibentuk menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan negara.
Berikut adalah luahan yang lahir dari naluri seorang bapa yang mahu supaya tragedi Zulfarhan Osman menoktahkan segala budaya penderaan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke pengajian tinggi.
BELUM reda dengan berita penderitaan adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie, pelajar Maahad Tahfiz yang meninggal dunia akibat didera oleh warden beliau, negara dikejutkan dengan berita kematian pelajar UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, pegawai kadet laut tahun tiga yang didera mengunakan sterika oleh rakan-rakannya di Kolej Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Sungai Besi.
Berita penderaan ke atas Zulfarhan seharusnya membuka mata kita mengenai budaya penderaan yang berlaku tidak kira di peringkat sekolah, mahupun di peringkat universiti.
Persoalannya, apakah budaya seperti ini masih relevan? Apakah budaya ini melambangkan budaya kita yang dikatakan lemah lembut, sopan santun, saling menghormati di antara satu sama lain dan saling bertimbang rasa?
Peristiwa yang berlaku ke atas Zulfarhan seharusnya membuka mata kita dan menyedarkan kita bahawa budaya penderaan, ‘ragging’, senior to junior yang merupakan satu budaya automatik dalam ‘bounding school or area’ kini semakin menjadi-jadi dan semakin sukar dibendung dan melampui batas kemanusian.
Sebagai ayah kepada salah seorang pelajar yang masih menuntut di UPNM, sudah pasti berita seperti ini amat merisaukan saya sekeluarga apatah lagi, anak yang menuntut itu masih lagi di peringkat junior dan baru ingin mengenal corak kehidupan kampus.
Kes Zulfarhan sebenarnya merupakan satu kes yang amat unik. Manakan tidak, Zulfarhan bukan didera atau dipukul oleh pegawai mahupun pelajar yang lebih senior, tetapi dia dipukul dan diseksa oleh rakan-rakan yang sebaya atau sama batch dengan beliau. Punca kehilangan laptop mungkin boleh dijadikan alasan, tetapi didera dan dipukul oleh rakan sebaya langsung tidak boleh diterima akal.
Saya masih ingat kata-kata Naib Cancelor UPNM, YBHG Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Bin Hj Zainal Abidin dalam taklimat bersama ibu-bapa pelajar baru UPNM baru-baru ini. YBhg. Tan Sri dengan lantangnya menekankan bahawa sistem yang ada sekarang adalah satu sistem yang telah terbukti kejayaannya untuk mencapai misi UPNM untuk melahirkan Graduan UPNM yang mempunyai 6 ciri-ciri seorang pemimpin. 6 ciri-ciri graduan UPNM ialah Pegawai Bergraduat, Pegawai Bertauliah, TTS (Tempur Tanpa Senjata), Imam (spritual leaders), 1 Pelajar 1 Sukan dan Insan Budiman.
Soalannya, apakah sistem itu masih boleh diguna pakai dengan penahanan 33 orang pelajar UPNM baru-baru ini? Di manakah kepimpinan or Imam mereka? Dan di manakah nilai Insan Budiman mereka?
Tidak adil untuk kita menyalahkan sistem yang ada, dan saya amat yakin Nitizen akan mula menjadi ‘keyboard warriors’ dengan mengatakan ‘Jika tak mahu didera jangan masuk Tentera’. Bagi saya, ini adalah ayat-ayat Insan yang tidak budiman atau lebih tepat lagi Insan yang tidak Beriman!
Apakah dengan meletakkan impian untuk menjadi seorang Pegawai Tentera maka seseorang itu perlu menjalani penderitaan dari segi mental dan fizikal? Apakah dengan meletakkan impian dan cita-cita untuk menjadi seorang Pegawai Tentera yang akan menjaga keselamatan negara di masa hadapan maka wajar mereka didera supaya lebih berdisplin dan lebih taat dan setia kepada orang atasan?
Saya amat yakin pegawai-pegawai kadet ini sudah bersedia dan mampu menerima segala bentuk latihan ketenteraan yang keras, namun adalah tidak wajar sama sekali jika kekerasan itu disertai dengan pakej tumbukan dan sepak terajang yang sama sekali tidak masuk akal.
Mungkin orang awam seperti saya tidak layak mengecam corak ‘pakej’ sedemikian. Namun bukankah pakej seperti itu membuka pintu seluas-luasnya untuk para pelajar melakukan perkara yang sama kepada pelajar lain terutamanya pelajar baru ? Maka dari sudut manakah pembetukan ‘Insan Budiman’ ini diterapkan?
Apakah sekadar dengan berkawad ke masjid, memastikan mereka sholat 5 waktu, memastikan mereka boleh mengaji Al-Quran dan mampu menjadi Khatib Sholat Jumaat, sudah dianggap mampu menjadi ‘Insan Budiman’ ?
Dunia semakin maju. Batas kepimpinan keselamatan sesebuah negara telah memasuki ERA baru. Maka mengapa kita masih mengamalkan corak latihan ketenteraan yang masih ‘old school’ sedangkan kita sedar bahawa kepimpinan keselamatan kini bukan lagi berteraskan fizikal semata-mata tetapi lebih kepada minda dan gaya pemikiran yang moden. Tidak pernah terfikirkah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) bahawa dengan penderaan yang extream ke atas pegawai-pegawai ini mampu mengugat emosi dan gaya pemikiran bernas mereka?
Saya amat yakin, sedikit sebanyak berita penahanan 33 pelajar UPNM ini mencalarkan sistem yang sedia ada. Bagaimana 33 pelajar tahun 3, yang telah berada selama 4 tahun di UPNM (setahun untuk program asasi), masih gagal mengawal emosi dan amarah mereka seterusnya menyeksa dengan kejam rakan mereka sendiri.
Namun persoalan yang masih belum terjawab ialah di manakah tanggungjawab Para Pegawai yang dipertanggunGjawabkan untuk menjaga anak-anak bakal pemimpin negara ini?
Masih segar ingatan saya semasa sessi pendaftaran pelajar baru tempohari, berbeza dengan universiti lain, adanya sessi ‘penyerahan anak’ kepada pihak universiti. Ibubapa dijemput menaiki pentas kecil untuk bertemu dengan Pensyarah Universiti untuk menyerahkan anak masing-masing kepada pihak universiti. Jelas kelihatan bertapa bersemangatnya anak-anak ini dan bertapa jernihnya airmuka mereka menjadi kebanggaan keluarga pada waktu itu. Namun apakah ini gambaran awal bahawa penyerahan ini bermaksud pihak universiti dan ALK mampu melakukan apa sahaja kepada anak-anak kami hinggakan kes-kes penderaan seperti yang berlaku ke atas Zulfarhan langsung tidak dapat dihidu mereka ?
Jika dilihat kepada fakta kes yang disiarkan oleh media-masa, Zulfarhan telah didera selama 2 hari sebelum dibiarkan selama 9 hari dalam penderitaan. Melihat keadaaan mangsa yang semakin kritikal, Suspek membawa mangsa ‘keluar’ dari UPNM menuju ke sebuah klinik di Serdang. Apakah selama 9 hari, pegawai yang dipertanggungjawab kan menjaga pelajar-pelajar ini tidak dapat menghidu penderitaan Zulfarhan ? Apakah pegawai ini tidak dapat mengenal pasti punca ketiadaan Zulfarhan semasa ‘roll-call’ yang dilakukan saban hari ? Dan bagaimana Zulfarhan boleh dibawa keluar tanpa pengetahuan Pegawai sedangkan UPNM itu terletak dalam kantomen Kem Sg Besi yang kawalan nya boleh dianggap ketat?
Persoalan-soalan ini masih belum terjawab dan sehingga artikel ini ditulis, pihak UPNM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Menteri Pertahanan hanya sekadar mengatakan ‘siasatan akan dijalankan’ dalam komen ringkas beliau dan selepas 3 hari jenazah Zulfarhan dikebumikan, tiada langsung maklum balas dari menteri.
Sudah pasti respon dan tindakan yang agak perlahan ini menerbitkan rasa gelisah di kalangan ibubapa pegawai-pegawai kadet di UPNM. Tanpa sebarang jaminan bahawa nasib malang yang menimpa Zulfarhan tidak akan berulang, keselamatan anak-anak kami diibaratkan tidak diutamakan langsung oleh pihak berwajib.
Bukan untuk menunding jari kepada mana-mana pihak. Namun sejajar dengan moto UPNM, Kewajipan Maruah Intergriti, maka amat wajib, sesuatu perlu dilakukan segera bagi mengembalikan Maruah yang tercalar dan Intergriti yang dipersoalkan.
Demi anak-anak kami Pegawai-pegawai Kadet di UPNM, pihak UPNM dan ALK wajar melakukan sesuatu atau mengeluarkan arahan yang lebih keras bagi memastikan pegawai-pegawai kadet ini dilatih dengan cara dan sistem yang lebih baik dalam mendisplin dan menjati diri kan mereka.
Harapan saya, ALK boleh sahaja menerapkan latihan ketenteraan yang keras namun perlu berusaha mengurangkan atau menghapuskan budaya ‘fizikal contact’ seperti tumbukan dan sepak terajang yang boleh dianggap sesuatu yang bakal memudaratkan di masa hadapan.
Hari ini kita kehilangan Zulfarhan, maka jadikan kehilangan ini satu kehilangan yang membuka mata dan minda kita dan tampil berani untuk mengakui kelemahan sistem yang ada supaya kita tidak akan hilang lebih ramai lagi pegawai kadet seperti Zulfarhan.
Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga roh beliau ditempatkan bersama para syuhada. –amin-
A.KULAL
Sungai Pinang Avenue
5 Jun 2017
Sumber: malaysiagazette.com
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2rKeW8O
via IFTTT