Sunday 30 June 2019

Menteri: Cadangan Bawa Pekerja Dari Afrika Tak Diteruskan


Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata cadangan untuk mengambil pekerja Afrika untuk sektor perladangan tidak akan diteruskan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kenyataannya telah dipetik di luar konteks dan disalah tafsir kerana perkara itu pada mulanya ditimbulkan oleh pemilik ladang dalam satu sesi dialog bersama peladang pada 28 Jun lalu.

Beliau berkata peladang merungut menanggung kerugian kerana tiada pekerja yang cukup untuk menuai kelapa sawit dalam masa 21 hari sebelum ia menjadi tidak sesuai untuk diproses.

"Dikatakan industri perladangan kerugian kira-kira RM10 bilion setahun untuk buah kelapa sawit yang tidak dituai kerana kekurangan pekerja.

"Untuk menampung kekurangan buruh, pemilik ladang mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk mengambil pekerja dari Afrika, terutama dari negara yang menjadi tempat pelaburan Malaysia dalam sektor minyak dan gas serta agrikultur.


"Cadangan itu boleh difahami selepas mengambil kira kekurangan buruh di ladang serta hakikat bahawa kita memang melabur di Afrika.

"Dalam konteks inilah pada sesi dialog itu, saya menimbulkan idea bahawa kerajaan mungkin perlu melihat ke arah Afrika untuk menampung kekurangan tenaga kerja di ladang di Malaysia," katanya lagi.

Selepas isu itu dikritik ramai pihak baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ia hanyalah cadangan dan beliau sendiri berpendapat ia sesuatu yang tidak perlu.

Kulasegaran berkata lagi, cadangan seumpama itu perlu mendapat kelulusan kabinet dan ia belum pun berlaku.

"Seperti yang dikatakan perdana menteri sendiri bahawa tiada keperluan untuk membawa pekerja dari Afrika, saya akan memaklumkan kepada pemilik ladang bahawa cadangan itu tidak akan diteruskan," katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/2YpKRen
via Merah Hati Cintaku