Sunday, 30 July 2017

Gara-Gara Coli Pink, Ellie Suriaty Dikecam


Belum pun pementasan teater Perempuan Satu Malam bermula, salah seorang pelakonnya, Ellie Suriaty teruk dikecam seorang wanita di akaun instagramnya yang tidak berpuas hati dengan sekeping gambar yang dimuat naik pelakon itu semalam.

Menurut Ellie, tindakannya memuat naik gambarnya ketika menjalani sesi latihan teater arahan Amar Asyraf itu sekadar mahu berkongsi tentang perkembangan terbaru dirinya yang bakal tampil dengan monolog Aku Nak Jadi Bintang dalam teater tersebut.

“Selalunya saya tidak ambil kisah sangat dengan kecaman-kecaman yang diberikan di laman sosial, namun apa yang telah diperkatakan seorang wanita di ruangan komen gambar yang saya muat naik semalam bagi saya terlalu biadap.

“Hanya dengan melihat gambar tersebut, dia telah membuat kesimpulannya sendiri dengan melabelkan saya sebagai perempuan yang tidak bermoral menerusi perkataan-perkataan yang sangat kasar.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut mengaitkan nama suami yang kononnya harus bertanggungjawab ke atas apa yang saya lakukan, hanya kerana mahu menegakkan apa yang dikatakan,” jelas Ellie.

Terkejut dengan dakwaan sebegitu, Ellie yang pada mulanya cuba menjelaskan situasi gambar berkenaan turut menegur sikap wanita terbabit yang kurang bijak dalam mengeluarkan pandangan seolah-olah cuba menghentam dirinya secara individu. Apatah lagi kecaman itu dibuat tanpa langsung menonton pementasan terbabit.

“Apa yang dilihat (dalam gambar) itu adalah saya sebagai Bintang dalam pementasan teater Perempuan Satu Malam yang memerlukan saya untuk tampil sebegitu.

“Takkanlah saya bodoh sangat sebagai seorang individu yang ingin berpakaian macam itu dengan saja-saja dalam keadaan biasa?

“Saya ambil watak ini kerana sedar betapa besarnya mesej yang dibawakan dalam naskhah ini yang cuba mengingatkan anak-anak muda hari ini agar lebih berhati-hati dalam menyempurnakan kehendak dan impian mereka. Jadi seharusnya saya perlu menghidupkan watak saya itu dengan sebaik yang mungkin agar penonton jelas tentang itu,” tegas Ellie yang kemudiannya telah menyekat akses wanita terbabit di akaun instagramnya.

Bagaimanapun kata Ellie, kejadian itu tidak langsung menjejaskan tumpuannya kepada pementasan teater tersebut yang mula dipentaskan hari ini, 28-30 Julai di Auditorium JKKN, Kuala Lumpur.

“Saya tahu apa yang saya lakukan, malah suami juga sentiasa ada bersama ketika sesi latihan dan dia tidak ada masalah tentang itu kerana sebagai seorang pelakon dia juga faham apa yang saya lakukan itu hanyalah sekadar lakonan semata-mata.

“Apapun ingin saya sebut di sini kepada mereka yang ingin mengeluarkan satu-satu pandangan, pastikan kita tahu apa diperkatakan itu dan bukan bertindak secara kurang bijak dengan menghentam orang lain secara melulu.

“Kita mempersoalkan moral orang lain, namun dalam masa yang sama cuba kita fikir adakah kita bermoral dengan bersikap sedemikian,” soal Ellie sedikit kesal.

Sumber: MEDIA HIBURAN


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2vXj2Mz
via IFTTT