Wednesday, 26 July 2017

Rakyat Perlu Bersedia, Rebat Elektrik Tidak Akan Kekal Selamanya


Pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan berkata pengguna harus menyedari yang rebat yang dinikmati sekarang tidak akan berterusan selamanya dan perlu bersedia dikenakan surcaj, lapor Bernama.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan Pembangunan Industri dan Kawal Selia Pasaran Elektrik suruhanjaya, Ir Azhar Omar berkata, perkara ini perlu diberi perhatian kerana pemberian rebat itu bukan bersifat kekal, rakyat perlu bersedia dengan kemungkinan itu dan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah.

"Walaupun kita sepatutnya mengenakan mengenakan surcaj, tetapi atas sikap keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, kerajaan masih menggunakan wang yang ada untuk menampung kenaikan.

"Ini kerana duit yang ada mungkin tidak dapat menampungnya pada masa hadapan. Rakyat perlu bersedia," katanya dalam temu bual program "Santai Ekspresi" Bernama Radio, baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan, kerajaan bukannya tidak dapat menanggung kenaikan kos tersebut, sebaliknya wang itu adalah sewajarnya digunakan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan negara memerlukan banyak sumber kewangan untuk pembinaan hospital, jalan raya dan sebagainya.

"Peranan suruhanjaya ini ialah memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap pada harga munasabah dan telah mengambil kira kos-kos membekal elektrik serta pulangan munasabah untuk pihak utiliti, kos-kos bekalan api dan sebagainya."

"ST juga tidak mahu syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih keuntungan secara berlebihan, malah ST sedang melakukan audit ke atas TNB serta semua akaunnya bagi memastikan kos-kos yang ditanggung pada tempoh regulatori pertama adalah munasabah serta efisyen, sebagaimana yang ditetapkan."

"Tempoh regulatori pertama untuk proses semakan tarif akan berakhir pada 31 Disember 2017. Mulai 1 Januari, 2018, kita akan mulakan semakan kedua untuk tempoh regulatori kedua," katanya.

Selain itu beliau turut mendedahkan bahawa dalam perjanjian pembelian tenaga (PPA) generasi pertama, kebanyakan pengeluar penjana bebas (IPP) mencatat sedikit keuntungan.

Atas dasar itu, kerajaan telah merundingkan kadar yang ditetapkan sebelum ini dan kebanyakan IPP bersetuju untuk mengurangkan harga.

"Kita telah kumpul sebanyak RM1.8 bilion. Selama ini, kita menggunakan dana ini untuk memberi rebat dan sebagainya.

"Sehingga Disember 2017, kita masih mempunyai baki (daripada RM1.8 bilion), tetapi untuk Januari dan seterusnya, saya kena tengok semakan sama ada (berlaku) peningkatan atau tidak," katanya.

Menurutnya, ST juga telah menggunakan RM1.3 bilion daripada jumlah dikumpul itu dan inisiatif lain yang diguna pakai sejajar dengan perubahan persekitaran global itu adalah rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

"Dasar rebat ICPT itu ialah untuk mengimbangi kos-kos yang tidak boleh dikawal oleh pihak utiliti.

"Ia berkait rapat dengan kos-kos bahan api dunia. Jika ianya tidak dapat dilepaskan dari segi rebat atau surcaj, kos ini terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan."

"Bagi membolehkan TNB memberi perkhidmatan yang baik, ia juga memerlukan pendapatan yang boleh digunakan bagi menampung kos."

"Sekiranya kos asyik meningkat tetapi pendapatan masih tidak dapat diperolehi secara mencukupi, lama-lama ia (TNB) akan tutup, perkhidmatan akan merosot dan kerajaan terpaksa menyelamatkannya," katanya. 

Sumber: Siakapkeli.my


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2h3JC3l
via IFTTT